Berita

< Back to article list

MRSM tingkat taraf hidup di luar bandar

2013 Februari 9

 

 

BETONG: Kerajaan mewujudkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebagai landasan untuk meningkatkan taraf hidup anak-anak di kawasan luar bandar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar  Dato Sri Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan menyediakan institusi pendidikan terbaik untuk setiap pelajar agar menjadi pendukung dan penyumbang kepada pembangunan negara suatu hari nanti.

“Oleh itu, kemajuan pendidikan yang semakin pantas mendesak generasi pelajar berusaha dengan gigih bagi mengejar cita-cita dan harapan.

“Adalah perlu untuk setiap pelajar menjadikan rakan yang lebih cemerlang sebagai contoh untuk berjaya dan memperolehi kecemerlangan yang mampu memberi inspirasi dan menjadi kebanggaan semua pihak.

“Kita juga ingin melihat lebih ramai anak-anak petani, peladang, pekebun dan penternak berjaya dan menjadi orang ternama serta pemangkin kemajuan dan pembangunan negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan (BKAP), Pelancaran Program Gemilang PMR dan SPM 2013 dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik MRSM Betong yang berlangsung di Dewan Gemilang, MRSM tersebut di sini semalam.

Ugah berkata, kejayaan pelajar maktab terbabit harus menjadi kebanggaan semua pihak, sekali gus menjadikan MRSM Betong sebagai sebuah institusi pilihan.

Ahli Parlimen Betong itu berkata, beliau akan sentiasa menyokong setiap usaha untuk meningkatkan pencapaian MRSM tersebut.

Pada majlis itu, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 dan jumlah yang sama daripada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang menjadikan jumlah sebanyak RM60,000 untuk dana MUAFAKAT maktab berkenaan.

Turut diadakan penyampaian watikah i-LEAD kepada 59 pelajar Tingkatan Tiga dan Lima, Anugerah Penghormatan Pengetua kepada pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Empat seramai 104 orang, Anugerah Pelajar Terbaik Subjek dan Keseluruhan, Anugerah Pelajar Cemerlang PMR 2012 dan Anugerah Guru dan Staf Cemerlang PMR 2012.

Selain itu, seramai 458 pelajar dari Tingkatan Dua hingga Lima maktab terbabit menerima wang BKAP bernilai RM100 setiap seorang.

Turut hadir Yang Dipertua MUAFAKAT MRSM Betong Wilson Entebang, Pengetua Zabidin Bedut, Timbalan Residen Bahagian Betong Dr Anthony Valentine Liaseh dan Pegawai Daerah Betong Friday Belik, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat dan ibu bapa.