Page 12 - Annual Report 2008
P. 12
SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI SARAWAK
LAPORAN TAHUNAN 2008



1. MUKADDIMAH


Laporan Tahunan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (selepas ini
disebut SPANS) ini disediakan sebagai memenuhi kehendak peruntukan Artikel 36(8),
Bahagian IV, Perlembagaan Negeri Sarawak (G.N.S. 163/63) yang menghendaki
SPANS menyediakan satu laporan tahunan mengenai kegiatannya kepada Tuan Yang
Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan salinannya dibentangkan di Dewan
Undangan Negeri.

Laporan Tahunan SPANS 2008 ini merangkumi kegiatan yang dilaksanakan oleh
SPANS sepanjang tahun 2008. Laporan ini tidak memasukkan kegiatan-kegiatan yang
telah diwakilkan kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak dan Ketua Jabatan melalui
Arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (Perwakilan Kuasa-Kuasa), 2004
yang berkuatkuasa pada 17 Januari 2004.

2. PENUBUHAN


SPANS telah diwujudkan pada 1 November 1961 di bawah The Sarawak (Public
Service Commission) Order in Council, 1961 dan berfungsi untuk menasihati Governor
selaras dengan Order in Council tersebut dan apa-apa juga peraturan yang dibuat dari
semasa ke semasa sehingga 15 September 1963. Pada 16 September 1963, iaitu
tarikh penubuhan Malaysia, selaras dengan Artikel 35, Bahagian IV, Perlembagaan
Negeri Sarawak (G.N.S. 163/63), SPANS telah menjadi sebuah badan eksekutif
sepenuhnya.

Menurut perlembagaan, keanggotaan SPANS adalah terdiri daripada seorang
Pengerusi, seorang Timbalan Pengerusi dan tidak kurang dari empat (4) dan tidak
lebih dari sembilan (9) orang ahli.

Urusan harian SPANS dibantu oleh Urusetia yang dianggotai oleh kakitangan Kerajaan
Negeri diketuai oleh seorang Setiausaha.

3. FUNGSI-FUNGSI


Mengikut Artikel 36(1), perlembagaan yang sama, SPANS adalah sebuah badan bebas
yang dipertanggungjawabkan dengan tugas-tugas seperti berikut:

3.1 Pelantikan;
3.2 Pengesahan dalam jawatan;
3.3 Pemberian taraf tetap dan berpencen;
3.4 Kenaikan pangkat;
3.5 Perpindahan tempat bertugas; dan
3.6 Mengawal disiplin

kakitangan perkhidmatan awam negeri Sarawak.

12
   7   8   9   10   11   12   13   14   15   16   17