The Official Portal of the Sarawak Government


Muhyiddin Ucap Selamat Hari Sarawak

Date : 22 July 2020     Source : Utusan Borneo Online

 

KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak menerusi Facebooknya hari ini.

Ucapannya disambut dengan pelbagai komen oleh warga net - kebanyakannya warga Sarawak - dalam bentuk gambar ucapan Selamat Hari Sarawak.

Sambutan Hari Sarawak 2020 bertemakan ‘Sarawak Cemerlang’  akan diadakan secara maya dan disiarkan secara langsung menerusi pelbagai platform media sosial dari Miri hari ini.

Kerajaan negeri menetapkan Hari Sarawak disambut setiap 22 Julai sejak 2016 dan diwartakan sebagai cuti umum bagi memperingati tarikh Gabenor Kerajaan Inggeris terakhir, Sir Alexander Waddell secara simbolik menyerahkan pentadbiran negeri ini kepada rakyat tempatan pada 1963.

Sementara itu, warga net dari Sarawak mula menghiasi laman sosial masing-masing dengan ucapan Hari Sarawak termasuk menteri dan wakil rakyat, sejak semalam.

Pada 2016, bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum bagi memperingati sejarah Sarawak yang bebas dari pemerintahan kerajaan penjajah.

Ia bagi memperingati tarikh Gabenor Kerajaan Inggeris terakhir, Sir Alexander Waddell secara simbolik menyerahkan pentadbiran negeri ini kepada rakyat tempatan pada 1963.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerusi Suara Sarawak berkata rakyat negeri ini perlu mempunyai satu visi dengan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan sebagai sebuah negeri yang dapat menjadi contoh kepada yang lain.

Justeru, katanya kunci bagi mencapai matlamat itu dengan mengekalkan perpaduan masyarakat berbilang etnik, bangsa dan agama.

“Saya mempunyai harapan Sarawak mampu mencapai kemajuan dengan syarat kita bekerjasama dan bekerja kuat. Kita gunakanlah segala perubahan yang ada pada zaman teknologi maklumat (IT) untuk meningkatkan keupayaan,” katanya dipetik menerusi akhbar ini.

Abang Johari menambah, setiap rakyat Sarawak harus menghayati tarikh 22 Julai kerana ia begitu penting malah menganggap sebagai hari keramat yang menandakan sejarah penubuhan Kerajaan Sarawak yang dipimpin mendiang Datuk Amar Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri.

UTUSAN BORNEO



Media Center