The Official Portal of the Sarawak Government


APGH 2024 Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Hidrogen Sarawak

Date : 12 July 2023     Source : UKAS

RABU, 12 JULAI 2023

KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi hidrogen di Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, menerusi APGH 2024, kerajaan negeri akan membawa pakar-pakar dari seluruh dunia untuk membincangkan perkembangan terkini dalam hidrogen hijau terutamanya dalam teknologi, dasar, peraturan dan infrastruktur ruang pembangunan.

Menurutnya, APGH 2024 juga akan menyediakan platform terbaik untuk syarikat-syarikat antarabangsa menjalin rangkaian dan meneroka peluang untuk kerjasama dalam ekonomi hidrogen.

“Saya percaya persidangan dan pameran ini akan menjadi satu peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hidrogen hijau dan potensinya untuk membantu meningkatkan kapasiti negeri dan pengetahuan dalam hidrogen hijau.

“Selain itu, APHG 2024 akan menarik tambahan pelaburan ke Sarawak, mewujudkan pekerjaan, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan platform untuk Sarawak untuk menjadi peneraju dalam pelaburan hidrogen hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni semasa Majlis Pelancaran Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 di sebuah hotel terkemuka di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi Borneo Business Connect Sdn Bhd, Tan Sri Asmat Kamaludin, Pengerusi SEDC Energy, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain, Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Abang Ahmad Abang Morni dan tetamu jemputan lain.

Dalam majlis sama, OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) mengukuhkan komitmen kepada kelestarian dan penyahkarbonan dengan menjadi Rakan Kongsi Institusi Kewangan Eksklusif untuk APGH 2024.

Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu, persidangan dan pameran peringkat antarabangsa seperti APGH 2024 juga akan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju dalam pasaran hidrogen hijau global.

Jelas beliau, negeri ini memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang banyak dan tanah yang luas selain kestabilan politik sekaligus memacu operasi hidrogen hijau.

“Kegunaan dan penggunaan hidrogen hijau adalah luas termasuk sebagai sumber bahan api untuk pengangkutan, penjanaan kuasa melalui pembakar atau sel bahan api hidrogen (HFC).

“Ini termasuk dalam proses perindustrian seperti pengeluaran metanol hijau, ammonia hijau, penerbangan mampan bahan api (SAF) dan bahan kimia hijau,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Premier Sarawak berkata, permintaan untuk hidrogen hijau berkembang pesat apabila negara-negara di seluruh dunia berusaha untuk menyahkarbon ekonomi mereka.

Katanya, di rantau Asia Pasifik, permintaan untuk hidrogen hijau dijangka berkembang sebanyak 50 peratus setahun.

“Sepanjang tahun lalu jumlah pengeluaran untuk hidrogen telah meningkat lebih daripada 40 peratus kepada 38 juta tan setahun kapasiti tambahan, kira-kira separuh daripada apa yang dunia perlukan menjelang 2030 untuk berada di landasan yang betul untuk memenuhi komitmen sifar pelepasan bersih menjelang 2050.

“Dianggarkan hidrogen juga akan menjana sehingga 30 juta pekerjaan menjelang 2050 dan peningkatan hasil tahunan $2.5 trilion kepada ekonomi seluruh dunia,” ujarnya lagi.

APGH 2024 dijangka berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 11 hingga 13 Jun 2024 dengan sasaran menarik 100 peserta pameran, 500 delegasi persidangan dan 4,000 pelawat perdagangan. 

APGH 2024 dianjurkan oleh Borneo Business Connect Sdn Bhd dan disokong oleh Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak dan Acara Perniagaan Sarawak. -EDISI UKAS



Media Center