The Official Portal of the Sarawak Government


Tun Taib Meninggal Dunia

Date : 21 February 2024     Source : UKAS

RABU, 21 FEBRUARI 2024

KUCHING: Mantan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pagi tadi.

Tun Taib, 87, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.40 pagi tadi di hospital swasta di Kuala Lumpur.

Jenazah dijangka tiba pada jam 3.30 petang ini dari Kuala Lumpur dan akan terus dibawa ke rumah beliau di Demak Jaya, Jalan Bako.

Keesokannya, jenazah akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana orang ramai boleh memberi penghormatan terakhir mulai jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

Selepas itu jenazah akan dibawa ke Masjid Demak untuk disolatkan pada jam 12 tengahari sebelum dibawa ke tanah perkuburan keluarga di Demak Jaya untuk upacara pengkebumian selepas solat Zohor.

Susulan itu, tempoh berkabung di seluruh negeri bermula pada hari ini serta esok dan bendera dinaikkan separuh tiang.

Selain itu, masjid dan rumah ibadah di seluruh negeri juga digalakkan mengadakan majlis doa bagi memperingati pemergian Tun Taib.

Allahyarham meninggalkan empat orang anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarhamah Datuk Patinggi Puan Sri Laila Taib yang dikahwininya pada 13 Januari 1959 – Jamilah Hamidah, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, Datuk Seri Abdul Rahman Sulaiman dan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Datuk Hanifah Hajar juga merupakan Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah.

Selepas Datuk Patinggi Puan Sri Laila meninggal dunia pada 29 April 2009, Tun Taib mengahwini Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib pada 18 Disember 2010.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak Ke-7 pada 1 Mac 2014 dan berakhir 25 Januari 2024.

Tun Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 33 tahun bermula dari 26 Mac 1981 hingga 28 Februari 2014. – EDISI UKAS



Media Center