Page 27 - oacp_2021
P. 27
KEPERLUAN PELAN ANTIRASUAH DALAM
KONTEKSTUAL KEPADA KERANGKA OACP-PUSAKA
Selaras dengan agenda transformasi Perkhidmatan Awam Negeri, Perbadanan Kemajuan
Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) secara konsisten mewujudkan sistem pentadbiran
dan pengurusan yang berkualiti dan berintegriti tinggi demi kesejahteraan rakyat. Simptom
penyalahgunaan kuasa, rasuah dan kepincangan pengurusan juga ditangani secara proaktif.
Gejala negatif seperti ini perlu dihapuskan sepenuhnya bagi mengekalkan tahap keberkesanan,
kecekapan, kepercayaan serta kestabilan Kerajaan Negeri amnya.
Bagi mendukung visi ke arah kerajaan yang bebas rasuah dan aspirasi negara supaya dikenali
kerana integriti dan bukannya rasuah, PUSAKA akan terus menggandakan usaha pendidikan
dan pencegahan rasuah untuk tempoh lima tahun akan datang. PUSAKA akan menggantikan
Pelan Integriti Organisasi (PIO) dengan Pelan Antirasuah PUSAKA dan menambahbaik
Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) – “Membanteras Rasuah”.
OACP-PUSAKA yang lebih menyeluruh berupaya memberi impak positif yang berkekalan. OACP-
PUSAKA diperkenalkan setelah mengambil kira pandangan pelbagai lapisan penjawat awam
yang bertugas di setiap Bahagian dan Seksyen di PUSAKA menerusi sesi perbengkelan dan
penganalisaan data-data sedia ada.
OACP-PUSAKA akan memacu dan mencetus ke arah merekayasakan kebertanggungjawaban,
ketelusan dengan menerapkan prinsip integriti dan semangat akauntabiliti yang tinggi dalam
sistem dan prosedur di semua sektor. Beberapa bidang berisiko yang terdedah kepada
perlakuan rasuah telah dikenalpasti melalui kajian dan analisis terperinci terhadap data primer/
sekunder, dapatan kajian dan Perancangan Senario (Scenario Planning). Hasilnya, OACP-
PUSAKA menggariskan sebuah kerangka inklusif yang memayungi strategi yang menyeluruh
dalam memerangi segala jenayah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Antara
inisiatif yang dirangka adalah memastikan komitmen pemegang taruh dalam meningkatkan
integriti, akauntabiliti dan membanteras rasuah.
OACP-PUSAKA ini telah menetapkan tujuh (7) bidang keutamaan yang menjadi teras
utama dalam usaha memerangi rasuah. Bidang Keutamaan tersebut ialah Pelesenan,
Penguatkuasaan Undang-Undang, Pengurusan Projek, Pentadbiran (Sumber Manusia),
Tadbir Urus, Perolehan dan Pengurusan Program. Strategi yang dikenal pasti melalui
tujuh (7) bidang keutamaan ini ialah Memperkukuhkan Kecekapan dan Keberkesanan
Pengurusan Pelesenan, Memantapkan Keberkesanan Penguatkuasaan Undang-Undang,
Memperkukuhkan Kecekapan dan Keberkesanan Pengurusan Projek, Memperkasakan
Keberkesanan Dan Kredibiliti Tadbir Urus Sumber Manusia, Memperkukuhkan
Keberkesanan dan Ketelusan dalam Sistem Tadbir Urus Organisasi, Memperkasakan
Pengurusan Perolehan, dan Memperkukuhkan Keberkesanan dan Kecekapan
Pengurusan Program. Strategi yang digariskan ini menjurus pada 10 objektif strategik yang
meliputi 90 inisiatif yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima (5) tahun akan datang.
26 Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) PUSAKA 2021 - 2025