KUCHING: Hari ketiga sambutan ulangtahun kesembilan penubuhan Kelab Myvi Borneo diteruskan dengan penganjuran program Konvoi Amal ke Rumah Sri Kenangan Siburan baru-baru ini.
Konvoi tersebut melibatkan semua ahli Kelab Myvi Borneo bersama kelab jemputan dari Indonesia, Sirion Chapter dengan menghimpunkan 30 buah kenderaan.
Berucap semasa program, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kelab Myvi Borneo kerana berjaya menganjurkan tiga program selama tiga hari bermula Jumaat, yang diyakini memberi manfaat kepada semua yang terlibat.
Menurutnya, antara program lain yang turut diadakan sempena sambutan ulangtahun ini adalah Majlis Makan Malam dan Hari Keluarga.
Dalam masa sama, beliau juga memuji usaha murni kelab terbabit dalam mendekatkan diri kepada golongan yang memerlukan perhatian dan bantuan khususnya warga emas, di samping mampu membawa kelab permotoran dari negara jiran untuk berkongsi minat sekaligus membuat kebajikan di negeri ini.
Dato Gerald berucap demikian sebelum menyempurnakan simbolik pelepasan atau ‘flag off’ konvoi berkenaan bertempat di Eco Park Resort Kuching.
Turut serta menyaksikan pelepasan itu ialah Presiden Kelab Myvi Borneo Andiazrul Johan, General Konsul Konsulat Indonesia-Kuching Raden Sigit Witjaksono, Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid serta Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Shahrin Ahmad.
Setiba di Rumah Sri Kenangan, ahli kelab mengambil peluang menyantuni seramai lebih 60 penghuni di situ sekaligus menyaksikan penyerahan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan yang di sampaikan oleh Andiazrul Johan dan Dr Nor Fuad kepada Pengetua Rumah Sri Kenangan Sharifah Ranimah.-Edisi UKAS