The Official Portal of the Sarawak Government


MKN Sarawak Bersama SEB Mula Laksana Latih Amal Ex-Red Tilapia 2023

Date : 14 March 2023     Source : UKAS

SELASA, 14 MAC 2023

LUBOK ANTU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) mula melaksanakan latih amal Ex-Red Tilapia bagi tahun 2023 di Empangan Hidroelektrik Batang Ai pada Selasa.

Pengarah MKN Sarawak, Mohd Hafizi Putit berkata, latih amal yang diadakan selama tiga hari, bermula 14 hingga 16 Mac itu akan menyaksikan penglibatan seramai 500 peserta dari 35 buah kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan dengan memfokuskan kepada Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menghadapi sebarang bentuk bencana.

Menurut beliau, ia bertujuan bagi memperkasa pendekatan Keselamatan Mnyeluruh atau ‘Comprehensive Security’ (COMSEC) di semua peringkat meliputi jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau optimis dengan pelaksanaannya yang bakal meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan semua peserta termasuk pihak SEB dalam menangani pelbagai masalah dalaman dan bertindak mengikut pelan kecemasan.

Hafizi berkata demikian semasa berucap merasmikan hari pertama latih amal berkenaan.

Menyentuh mengenai pemilihan lokasi empangan, beliau memberitahu, ia dipilih susulan Mesyuarat Penyelarasan Pengurusan Empangan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemindahan Penduduk yang dipengerusikan oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Perisikan dan Krisis Negara, MKN Putrajaya pada April 2022.

Jelasnya lanjut, Empangan Hidroelektrik Batang Ai dikategorikan sebagai salah satu empangan berisiko tinggi yang telah melebihi 50 tahun pembinaan di Sarawak.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Bahagian Sri Aman Elvis Didit, Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power Ir Bunyok Lunyong dan wakil Pegawai Daerah Lubok Antu Mohd Syafiq Midin.-Edisi UKAS



Media Center