The Official Portal of the Sarawak Government


KPM Laksana Pelbagai Usaha Pastikan Kurikulum Pendidikan Relevan Dengan Perkembangan Pendidikan

Date : 22 March 2023     Source : UKAS

RABU, 22 MAC 2023

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan kurikulum  pendidikan sentiasa relevan dengan perkembangan pendidikan pada masa ini dan masa depan serta dapat menyediakan pelajar sebagai tenaga kerja masa hadapan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, KPM mengambil kira agenda pendidikan digital, revolusi perindustrian, pendidikan karakter dan kewarganegaraan global yang merupakan trend dalam pembangunan kurikulum dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan.

“Sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dijalankan bagi mendapatkan input dan maklumat tentang pelaksanaan kurikulum semasa khususnya dalam  aspek kandungan ilmu pengetahuan dan pedagogi.

“Hasil dapatan sesi  libat urus tersebut dianalisis dengan terperinci bagi mengenal pasti serta  melaksana tindakan susulan yang perlu dilakukan.

“Dalam konteks kandungan (ilmu pengetahuan), semakan kandungan mata pelajaran dilaksana seiring dengan keperluan masa kini  dan akan datang.

“Dalam hal ini, analisis keperluan dilaksana bagi menentukan perkembangan terkini bidang ilmu, kedalaman dan keluasan bidang ilmu serta keperluan bagi melaksanakan sesuatu kurikulum baharu,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Ahli Dewan Negara Senator Susan Chemerai Anding yang tidak dijawab dalam Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Di samping itu, katanya lagi, dapatan semakan dan penilaian kurikulum akan digunakan untuk mengenal pasti kaedah pedagogi terbaik dengan  mengambil kira pendekatan yang bersesuaian mengikut tahap kognitif  dan gaya pembelajaran murid.

Tambah Fadhlina, Kementeriannya juga telah melaksanakan Transformasi Pendidikan Vokasional  (TPV) bermula tahun 2012 yang mana perubahan utama dalam TPV adalah penaiktarafan semua Sekolah Menengah Vokasional (SMV) kepada Kolej Vokasional (KV) yang menawarkan pengajian sehingga peringkat diploma.

“TPV telah mengubah landskap TVET KPM dalam menghasilkan graduan TVET KPM yang  berkualiti serta mempunyai kebolehpasaran yang tinggi untuk memenuhi keperluan revolusi perindustrian.

Selain itu, ujar beliau, KPM turut  memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti demi hindari gejala negatif.

Katanya lagi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut diperluaskan di sekolah menengah harian melalui Program Vokasional Menengah Atas (PVMA), Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) dan Mata Pelajaran Vokasional (MPV).

Jelasnya, Pendidikan TVET KPM turut memberi peluang kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan Program Pendidikan Khas Integrasi  (PPKI) di SMK untuk mendapatkan kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran kerja.-Edisi UKAS



Media Center