The Official Portal of the Sarawak Government


Mohamad Razi Santuni Mangsa Kebakaran Apartment I-Mas Village

Date : 11 April 2023     Source : UKAS

SELASA, 11 APRIL 2023

KOTA SAMARAHAN: Prihatin dengan musibah yang dihadapi mangsa kebakaran di Apartment I-Mas Village, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohamad Razi Sitam turun padang bagi menyantuni mangsa, pada Isnin.

Dalam masa sama, beliau menyampaikan bantuan bencana kepada mangsa yang disalurkan oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan seperti bantuan makanan, kelengkapan tidur, pakaian harian, bantuan wang saku dan peralatan dapur.

Mohamad Razi turut berharap bantuan berkenaan dapat dimanfaatkan oleh mangsa-mangsa untuk membantu proses pemulihan serta meneruskan kelangsungan hidup.

Difahamkan, mangsa yang melibatkan dua buah keluarga kehilangan rumah kediaman mereka akibat kebakaran pada 8 April 2023.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Adana Jed, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Samarahan, Ebby Hirwandy Sarbini, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Mohammed Yaakob Morshidi dan wakil Property Management I-Mas Village Apartment, Christina Jong. -EDISI UKAS



Media Center