The Official Portal of the Sarawak Government


PANS Di Bawah Skim JBC Layak Nikmati Kenaikan Pangkat

Date : 16 June 2023     Source : UKAS

JUMAAT, 16 JUN 2023

BELURU: Penjawat Awam Negeri Sarawak (PANS) yang dilantik di bawah skim perkhidmatan Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) sekarang layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki memberitahu, para penjawat awam Sarawak di bawah skim perkhidmatan JBC layak menikmati kenaikan pangkat bagi meluaskan laluan kerjaya masing-masing.

“Kerajaan Sarawak akan memastikan semua kakitangan PANS mendapat peluang yang sama seperti kelayakan pinjaman perumahan pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap semasa melakukan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Beluru di sini pada Jumaat. 

Sementara itu, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkata, Kerajaan Sarawak akan menyiapkan kerja untuk membaik pulih kemudahan seperti bangunan pejabat dan kuarters kerajaan dalam tempoh tiga atau empat tahun.

Mengulas lanjut katanya, ini adalah untuk keselesaan kakitangan yang bekerja di pejabat dan tinggal di kuarters supaya dapat menjalankan tugas dengan efektif.

Selepas sesi dialog bersama kakitangan Pejabat Daerah Beluru, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar berkesempatan melawat kuarters kakitangan dan tapak pembinaan Pejabat Daerah Kecil Tinjar.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Sarawak Lester Matthew, Residen Bahagian Miri Jamalie Busri dan Pemangku Pegawai Daerah Beluru Charles Aloysius Lisu. -EDISI UKAS



Media Center