The Official Portal of the Sarawak Government


Alat Muzik Sape Menyatukan Pelbagai Kaum

Date : 22 June 2023     Source : UKAS

KHAMIS, 22 JUN 2023

KUCHING: Alat muzik tradisional Orang Ulu iaitu Sape telah menjadi instrumen menyatukan pemain dan peminat daripada pelbagai kaum dan latar belakang di seluruh negara.

Naib Pengerusi Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS), Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang berkata, Kem Sape 2023 anjuran YPS yang julung kali diadakan di Kuching telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan belia yang terpilih adalah tiga daripada Semenanjung Malaysia, dua daripada Sabah dan 10 dari Sarawak.

Beliau memberitahu bahawa beliau kagum para belia dari luar Sarawak kini turut mengagumi, menghargai dan belajar untuk menguasai alat muzik yang unik ini.

“Sekumpulan pemuzik muda menggunakan sape tradisional kita sebagai faktor penyatuan mereka yang bukan sahaja kepada masyarakat tetapi faktor penyatuan untuk memastikan bahawa rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat dapat bersama-sama melalui forum dan muzik seperti yang telah dilakukan selama empat hari yang lalu dalam bengkel serta kem.

“Ini termasuk sama ada menggunakan cara-cara yang lain untuk membolehkan kita mempromosikan perpaduan, muhibbah, semangat kita kerjasama dengan erti kata yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggunakan perkataan daripada Sarawak ‘Segulai Sejalai’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Kem Sape 2023 di Muzium Budaya Borneo, pada Khamis.

Dalam program sama, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu turut menyampaikan sijil kepada 15 peserta yang dipilih untuk Kem Sape 2023 iaitu tiga dari Semenanjung Malaysia, dua dari Sabah, dan selebihnya dari Sarawak.

Turut hadir, Ketua Eksekutif YPS, Datu Aloysius Dris dan Ahli YPS, Datu Ose Murang.

Untuk rekod, Kem Sape 2023 yang diadakan selama empat hari mulai 19 hingga 22 Jun itu dikendalikan oleh pemuzik profesional tempatan termasuk legenda sape Sarawak, Mathew Ngau Jau, komposer Narawi Rashidi, maestro sape Sarawak dan pemenang anugerah Jerry Kamit serta penyelidik dan ahli akademik tempatan Dr Connie Lim Keh Nie dari Universiti Malaysia Sarawak.

Acara kemuncak bagi Kem Sape 2023 adalah konsert mini yang akan berlangsung di Godown Amphitheatre, Tebingan Kuching pada jam 7.30 petang Khamis.

Orang ramai dijemput hadir sekaligus menikmati melodi dan lagu sape pada konsert tersebut secara percuma. -EDISI UKAS



Media Center