The Official Portal of the Sarawak Government


Pengamal Psikologi & Kaunseling Tingkatkan Kualiti & Kekuatan Mental Penjawat Awam Sarawak

Date : 12 October 2023     Source : UKAS

KHAMIS, 12 OKTOBER 2023

KUCHING: Pengamal psikologi dan kaunseling penting dalam membantu meningkatkan kualiti dan kekuatan mental penjawat-penjawat awam di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penyampaian perkhidmatan psikologi dan kaunseling perlu dipertingkatkan secara menyeluruh ke arah kesejahteraan penjawat awam.

“Hala tuju perkhidmatan psikologi dan kaunseling Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) menekankan pengurusan psikologi secara inklusif dan progresif dalam memastikan kesejahteraan penjawat awam SCS berada dalam tahap optimum dengan penganjuran pelbagai program yang berkaitan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dalam Majlis Perasmian Penangguhan Konferen Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan Perkhidmatan Awam Sarawak Ke-9 di sini pada Khamis.

Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, dalam mencapai matlamat bagi memastikan kesejahteraan penjawat awam sentiasa diberi perhatian dan ditambahbaik dari masa ke semasa, kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif sejak awal tahun ini.

“Program intervensi psikologi dan kaunseling seperti sesi kaunseling, program ‘SCS Employee Excellence’, program Rejuvenasi SCS dan program ‘SCS Self Value Excellence’ telah digunakan dalam membantu penjawat awam menangani isu prestasi rendah, hubungan, motivasi, nilai dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Antara inisiatif lain yang telah dipraktikkan oleh kerajaan Sarawak adalah pengenalan kepada aplikasi psikologi iaitu penggunaan ujian psikometrik dalam proses pengambilan kakitangan baharu.

Dalam majlis tersebut, Datu Hii turut mewakili Datuk Amar Mohamad Abu Bakar melancarkan Buku Panduan Pelaksanaan Audit Standard Kualiti Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling SCS untuk rujukan ketua jabatan dan pegawai-pegawai dalam bidang psikologi di satu-satu jabatan kerajaan.

Sepanjang tahun 2015 hingga 2021, seramai 250 orang pegawai agensi seluruh Sarawak telak diiktiraf sebagai pegawai Program SCS Khidmat Sokongan Pekerja (SCS-KSP).

Majlis yang dihadiri seramai 505 orang peserta itu turut menyaksikan pengiktirafan baharu 47 orang pegawai daripada agensi kerajaan, pihak berkuasa dan berkanun sebagai pegawai SCS-KSP.

Hadir sama Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia merangkap Penasihat Konferen Psikologi, Kaunseling dan Kesejahteraan Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Ismail Mohamad Hanis dan Ketua-ketua Jabatan lain. -EDISI UKAS



Media Center