Program Outreach Pendidikan Tinggi Daro Dedah Pelajar Dengan IPTA
Date : 18 January 2024Source : UKAS
KHAMIS, 18 JANUARI 2024
DARO: Program Outreach Pendidikan Tinggi Daro merupakan platform bagi memberi peluang serta motivasi kepada para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pengajian Malaysia (STPM) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Program anjuran Universiti Puta Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad yang juga selaku panel kehormat Forum Pendidikan Tinggi “Antara Mengejar Cita-Cita atau Mencari Pekerjaan Awal” di Dewan Belatong SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Normah, Daro baru-baru ini.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau menekankan supaya setiap pelajar lepasan SPM dan STPM supaya menyambung pelajaran ke peringkat IPTA serta memaklumkan bahawa pelbagai bantuan juga disediakan oleh pihak Baitulmal Sarawak, Yayasan Sarawak dan lain-lain.
Antara pengisian program itu adalah pameran pendidikan, taklimat kemasukan ke IPTA, forum pendidikan serta taklimat pertanian hidroponik.
Hadir sama, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, UPMKB Profesor Madya Dr. Noorasmah Saupi, Timbalan PPD Daro Sektor Pembelajaran, Cikgu Nancy Ngumbang, Kaunselor Organisasi PPD Daro, Cikgu Nora Salim dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK TPDPH Normah, Cikgu Has Noh.-EDISI UKAS