The Official Portal of the Sarawak Government


Masjid Jamek Negeri Sarawak Akan Diubah Suai, Tambah Enam Menara

Date : 18 January 2024     Source : UKAS

KHAMIS, 19 JANUARI 2024

KUCHING: Masjid Jamek Negeri Sarawak yang terletak di Petra Jaya, di sini bakal menjadi produk pelancongan keagamaan baharu untuk menarik kedatangan pelancong Islam ke negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau berhasrat untuk mengubah suai struktur masjid rasmi negeri Sarawak itu dengan menambah enam buah menara di bangunan sedia ada.

Menurutnya, pengubahsuaian tersebut diilhamkan daripada seni bina Masjid Nabawi di Madinah, Arab Saudi yang merupakan masjid kedua paling suci dan terbesar di dunia.

“Saya nak tambah menara masjid kita, dan bina seakan-akan Masjid Nabawi dengan harganya yang ‘boleh tahan’..selagi rezeki kita ada kita buatlah.

“Kita hendak mengangkat semangat umat Islam untuk beribadat, menyebarkan syiar Islam, belajar dan memberi khidmat bakti kepada bangsa kita yang mana secara tidak langsung akan mengangkat martabat umat Islam itu sendiri,” katanya semasa menyampaikan wacana perdana yang menghimpunkan agensi-agensi Islam Sarawak di Dewan Kompleks Islam, di sini pada Khamis.

Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, usaha seumpamanya adalah bertujuan untuk mencipta sebuah persekitaran yang membolehkan umat Islam, khususnya di negeri ini, mendalami ilmu agama sebagai langkah ke arah pembangunan insan yang holistik sebagaimana terkandung dalam Al-Quran.

Masjid Jamek Negeri Sarawak yang dibina sejak 1990, dikategorikan sebagai masjid gred khas yang berkeupayaan memuatkan lebih 10,000 jemaah pada satu-satu masa.

Dalam wacana sama, Datuk Patinggi Abang Zohari juga berkongsi mengenai pencapaian Sarawak sepanjang tujuh tahun di bawah kepimpinannya dan mengharapkan agar prestasi serta komitmen cemerlang kerajaan sedia ada akan berterusan dan mencapai sasaran 2030.

Turut hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datuk Misnu Taha, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Yang Amat Arif Datu Awang Suhaili Ledi serta Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Datu Khalidi Ibrahim.

Terdahulu, Premier Sarawak bersama tetamu kehormat serta para jemputan yang hadir menunaikan solat fardhu Maghrib berjemaah disusuli dengan alunan zikir munajat beramai-ramai.

Majlis diakhiri dengan upacara memotong kek pulut kuning dan penyampaian cenderamata kepada Premier Sarawak yang disampaikan oleh Datuk Misnu Taha mewakili agensi-agensi Islam Sarawak sebelum menunaikan solat fardhu Isyak berjemaah. -Edisi UKAS



Media Center