The Official Portal of the Sarawak Government


Sarawak Akan Bna Rangkaian Jalan Keselamatan

Date : 26 October 2019     Source : Utusan Borneo Online


TAKLIMAT:Masing semasa mendengar taklimat mengenai Program Rangkaian Jalan Keselamatan Sempadan oleh JKR, kelmarin.

 

KUCHING: Sarawak akan membina rangkaian jalan keselamatan di sepanjang sempadan bersama Kalimantan, Indonesia yang dianggarkan menelan kos bernilai RM24 bilion.

Timbalan Ketua Menteri juga Menteri Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, dengan pengumuman ibu kota Indonesia yang akan dipindahkan ke Kalimantan Timur pada 2024, maka ia adalah amat tepat kepada Sarawak membina rangkaian jalan keselamatan sepanjang sempadan.

“Rangkaian jalan berkenaan bermula dari Biawak ke Serikin dan Engkilili melalui Lubok Antu, Long Silat, Long Banga, Bario, Ba’Kelalan, Long Semado, Long Sukang yang berakhir di bandar Lawas.

“Kajian mendalam mengenai rangkaian jalan sempadan yang dicadangkan akan dilaksanakan dengan keutamaan diberikan kepada empat bahagian,” katanya.

Peta menunjukkan cadangan jalan yang akan dibina sepanjang sempadan.

Peta menunjukkan cadangan jalan yang akan dibina sepanjang sempadan.

Antaranya ujar beliau, bahagian Baleh dan jalan penghantar, bahagian Engkilili/Lubok Antu dan Batang Ai, bahagian menaik taraf jalan akses Tebedu R5 serta bahagian jalan penghantar Tinjar dan Baram.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat mengenai Program Rangkaian Jalan Keselamatan Sempadan daripada Penolong Pengarah (Cawangan Perancangan Korporat) JKR Sarawak Norman Jan di sini, kelmarin.

Masing berkata, keutamaan kriteria pemilihan bagi program berkenaan adalah berteraskan strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Rangkaian jalan keselamatan sempadan adalah penting untuk menyediakan perhubungan kepada masyarakat tempatan dan akses antarabangsa.

“Ia akan membantu melindungi wilayah serta aset kita yang bernilai berbilion ringgit terutama Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) dan empat empangan hidroelektrik (HEP) kita, yang terletak berhampiran sempadan antarabangsa kita,” katanya.

Masing memberitahu, program rangkaian jalan keselamatan sempadan itu diharapkan bukan hanya menyediakan sambungan ke kawasan tanah tinggi di sepanjang sempadan Sarawak dan Kalimantan.

Namun katanya, ia juga bertujuan membolehkan akses ke taman negara d negeri ini, yang kaya sumber semula jadi dan tempat perlindungan hidupan liar yang dijangka memberi pengalaman terbaik  kepada peminat alam semula jadi.

Sementara itu mengenai projek berkenaan, dengan anggaran sempadan yang sepanjang 1,032 kilometer (km) dan jalan penghantar 610km, jumlah kos keseluruhan program dianggarkan bernilai RM24 bilion dengan pelaksanaan berperingkat dari tahun 2020 hingga 2030 dan seterusnya.

Makmal mini telah dikendalikan pada 23 Oktober lepas dan ia telah membincangkan mengenai perkara berkaitan cadangan pembinaan rangkaian jalan keselamatan sepanjang sempadan.

Sesi berkenaan dihadiri wakil daripada Kementerian Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Unit Perancangan Ekonomi Sarawak, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pejabat Residen dan Daerah, Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Hutan, jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dari bahagian dan ibu pejabat.

Hasil daripada makmal berkenaan ia menghasilkan beberapa input untuk merumuskan pelaksanaan projek berkenaan seperti Rancangan Transformasi Sosioekonomi Negeri (2016-2030), Teras Strategik RMK12 dan menghubungkan komuniti luar bandar, aset pelancongan, pintu masuk sempadan sedia ada dan keselamatan kawasan sempadan.

Skop kerja yang dicadangkan terdiri daripada menaik taraf jalan kerikil R1 yang sedia ada sejauh 518km kepada jalan berturap standard JKR R3, pembinaan sepanjang 1,124km jalan baharu berturap standard JKR R3 dan kerja-kerja sampingan lain.



Media Center