UPM Rancang Tawar Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar Di Kampus Bintulu
Date : 23 March 2023Source : UKAS
KHAMIS, 23 MAC 2023
KUALA LUMPUR: Universiti Putra Malaysia
(UPM) mempunyai perancangan untuk menawarkan Ijazah Sarjana Muda Doktor
Perubatan Veterinar di Kampus Bintulu.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk
Seri Mohamed Khaled Nordin, penawaran program ini adalah duplikasi daripada
program Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar sedia ada yang
ditawarkan di Kampus Serdang.
Jelasnya, program berkenaan akan ditawarkan
di Kampus Bintulu dengan menggunakan kurikulum dan syarat kemasukan yang sama.
“Pada masa ini, penawaran program masih di
peringkat penelitian oleh pihak UPM kerana keperluan sumber manusia dan fizikal
perlu diambil kira terutamanya berkaitan fasiliti klinikal haiwan yang
diperlukan untuk penawaran program.
“Syarat penawaran program hanya dapat
disediakan selepas pihak UPM dapat memenuhi keperluan penyediaan fasiliti,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab
pertanyaan Ahli Parlimen Betong, Dr. Richard Rapu pada sesi jawab lisan di
Dewan Rakyat, pada Rabu.
Datuk Seri Mohamed Khaled menambah, program
ini terbuka kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau
Matrikulasi, lepasan Asasi Sains Pertanian dan lepasan diploma setaraf. -EDISI
UKAS