The Official Portal of the Sarawak Government


M-FICORD & LKTN Bakal Bekerjasama Bangunkan Industri Penanaman Kenaf Di Sebauh

Date : 10 October 2023     Source : UKAS

SELASA, 10 OKTOBER 2023

KUCHING: Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) bakal bekerjasama dengan Lembaga Kenaf Dan Tembakau Negara (LKTN) dalam penanaman kenaf di Ulu Sebauh, Bintulu. 

Menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Dato Sri Fadillah Yusof, kerjasama tersebut akan melibatkan kawasan seluas 2,000 hektar. 

“LKTN akan menjalinkan kerjasama dengan agensi dan anak syarikat di bawah seliaan M-FICORD untuk menerokai konsep ladang kluster dan pembangunan berorientasikan swasta (private driven) melalui syarikat tempatan yang berminat untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai sumber ekonomi baharu,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas LKTN di Kota Bharu pada Isnin. 

Dato Sri Fadillah menambah, sejak kenaf diperkenal pada tahun 2010, industri ini telah berjaya menghasilkan panel Sistem Binaan Berindustri atau Industrialized Building System (IBS). 

“Panel ini telah mendapat kelulusan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan piawaian antarabangsa selain lebih ekonomik, praktikal, mesra alam sekitar dan tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai,” tambahnya. 

Dalam pada itu, beliau yakin potensi industri fiber semula jadi dan biojisim di Malaysia yang merangkumi kenaf mampu berkembang dengan jayanya dan bergerak jauh ke hadapan selaras dengan kehendak global pada masa ini yang menekankan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG).

Dato Sri Fadillah turut berharap agar usaha kerjasama yang bakal dijalinkan oleh M-FICORD Dan LKTN ini tidak terhenti di peringkat penanaman sahaja namun terus ke arah industri hiliran. -EDISI UKAS



Media Center