PERUTUSAN






YANG AMAT BERHORMAT

DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI
BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG


PREMIER SARAWAK
 
 
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh           

Salam Sarawakku Sayang dan Salam Ibu Pertiwiku
 
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT dengan limpah dan kurniaNya kita telahpun berada di tahun 2023 di mana pada tahun ini Sarawak akan menyambut acara yang membawa makna yang begitu penting kepada rakyat  Sarawak sempena Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka.
 
Pelbagai aktiviti telah dirancang dan akan dilaksanakan untuk kita memperingati tarikh bersejarah 22 Julai 1963 di mana Kerajaan British telah menurunkan bendera Union Jack dan digantikan dengan bendera Sarawak sebagai tanda negeri diberi kuasa untuk memerintah diri. 
 
Dengan kesempatan ini, saya mewakili seluruh rakyat Sarawak ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua barisan pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu seperti Datuk Stephen Kalong Ningkan, Datuk Tawi Sli, Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Pehin Sri Adenan Satem yang telah menyediakan segala kemakmuran, pembangunan dan kehamorniaan yang kita semua nikmati pada hari ini.

Segala sumbangan, perjuangan dan jasa mereka itu merupakan satu legasi yang seharusnya dihargai, dipertahankan dan disambung oleh setiap lapisan masyarakat di Bumi Kenyalang ini.

Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk berusaha memajukan masa depan Sarawak dengan meningkatkan produktiviti, sentiasa berdaya saing dan pada masa yang sama, mewujudkan persekitaran yang bersih, sihat dan berdaya tahan yang akan kekal untuk generasi akan datang.
 
Saya juga sering menekankan bahawa menjelang 2030 nanti, Sarawak akan menjadi sebuah wilayah yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi di mana semua orang akan menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan.
 
Dalam hal ini, pelaksanaan PCDS 2030 menjurus kepada pembangunan teknologi, inovasi, ekonomi hijau dan biru dan lain-lain sektor ekonomi yang sama penting untuk meningkatkan taraf hidup anak-anak Sarawak.
 
Bersempena dengan Sambutan perayaan 60 tahun Sarawak Merdeka, sama-samalah kita terus meningkatkan perpaduan antara kaum. Sejarah telah membuktikan sebuah negara yang tidak aman tidak akan dapat bergerak maju dan progresif. Oleh itu, kita sebagai rakyat Sarawak perlu memastikan Sarawak mempunyai asas yang kukuh ke arah kemajuan dalam tempoh lapan tahun akan datang sebelum memasuki tahun 2030.
 
Saya ucapkan setinggi tahniah kepada ahli-ahli jawatankuasa yang telah menyumbang kepada kejayaan penubuhan laman sesawang ini. Laman ini merupakan satu saluran komunikasi yang penting dalam menyediakan pelbagai maklumat untuk orang ramai berkaitan dengan acara-acara dan aktiviti-aktiviti Sambutan perayaan 60 tahun Sarawak Merdeka sepanjang tahun ini.
 
SELAMAT MENYAMBUT 60 TAHUN SARAWAK MERDEKA
SARAWAK MAJU MAKMUR

 
(DATUK PATINGGI TAN SRI (DR) ABANG HAJI ABDUL RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG)