Pemerintahan Sendiri untuk Sarawak 1963

Pada 27 Mei 1961, Perdana Menteri Malaya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mencadangkan pergabungan atau persekutuan untuk kerjasama yang lebih erat dalam bidang politik dan ekonomi antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (nama bagi negeri Sabah pada ketika itu) dan Brunei.


Perdana Menteri British Sir Harold Macmillan menyokong gagasan tersebut.  Mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Perpaduan Malaysia telah diadakan di Singapura dua bulan kemudian pada 28 Julai 1961, diikuti dengan lawatan tinjauan oleh pemimpin-pemimpin dari Sarawak dan Sabah ke Malaya pada 12 Ogos 1962.


Dalam tahun 1962, pasukan 5 orang yang terdiri daripada 2 orang wakil Persekutuan Tanah Melayu dan 3 orang wakil British yang diketuai Lord Cameron Cobbold mengunjungi Sarawak dan Sabah untuk meninjau sambutan rakyat terhadap cadangan Persekutuan Malaysia.


Hasil penemuan tinjauan Suruhanjaya Cobbold membawa kepada Perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 oleh pihak Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Perjanjian tersebut mengandungi 20 perkara yang dibangkitkan oleh Sabah dan 18 perkara yang dituntut oleh Sarawak untuk melindungi kepentingan, hak dan autonomi negeri selepas penubuhan Malaysia.

Gambar wakil-wakil Sarawak di Lapangan Terbang Kuching selepas balik daripada menandatangani perjanjian yang bersejarah untuk membentuk Malaysia di London pada 12 Julai 1963.


Temenggong Jugah anak Barieng OBE, Datu Bandar Abang Mustapa CBE, Abang Haji Openg, Ling Beng Siew dan P.E.H. Pike menandatangani perjanjian bagi pihak Sarawak manakala Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Sir Harold Macmillan masing-masing mewakili Persekutuan Tanah Melayu dan Britain.


Pada 22 Julai 1963, Gabenor Sarawak Sir Alexander Waddell mengeluarkan perisytiharan untuk menubuhkan Majlis Tertinggi pertama dengan pelantikan Stephen Kalong Ningkan, Pengerusi Sarawak National Party (SNAP) sebagai Ketua Menteri Sarawak yang pertama. Ahli lain Majlis Tertinggi itu terdiri daripada Abdul Taib Mahmud, James Wong Kim Ming, Dunstan Endawie anak Enchana, Awang Hipni Pengiran Annu dan Teo Kui Seng. Ini menandakan tamatnya pemerintahan British dan lahirnya Sarawak sebagai negeri yang mempunyai pemerintahan sendiri. Oleh itu, Sarawak menjadi negara merdeka dari 22 Julai 1963 hingga 15 September 1963.