PERUTUSAN SETIAUSAHA KERAJAAN SARAWAK





YANG BERHORMAT DATUK AMAR HAJI MOHAMAD ABU BAKAR BIN MARZUKI

SETIAUSAHA KERAJAAN SARAWAK




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam Ibu Pertiwiku.
 
Selamat Datang ke Laman Sesawang 60 Tahun Sarawak Merdeka.
 
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi di atas keizinan-Nya kita akan meraikan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka sepanjang tahun ini. Syabas dan tahniah kepada ahli-ahli jawatankuasa yang telah berjaya menyediakan laman sesawang rasmi ini yang bakal menjadi satu platform rujukan dan wadah buat khalayak umum termasuk mereka yang berada di luar negara berkenaan dengan semua aktiviti sambutan.
 
Sesungguhnya sambutan ini amat bermakna sekali kepada rakyat Sarawak khususnya kerana ianya mengingatkan kita kembali kepada sejarah di mana Negeri Sarawak dibebaskan daripada pemerintahan Kerajaan British pada 22 Julai 1963.  
 
Sambutan ini juga mencerminkan pelbagai tahap pembangunan yang telah dilakasanakan sejak 60 tahun yang lalu oleh pemimpin kita yang terdahulu sehingga sekarang di bawah Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg.   
 
Perjuangan selama 60 tahun merupakan sebuah perjalanan yang panjang dan penuh cabaran dalam usaha pemimpin-pemimpin kita memajukan negeri, mengekalkan keamanan dan mengimbangi kesejahteraan masyarakat yang terdiri dari pelbagai latar budaya dan agama khususnya di bumi Ibu Pertiwi yang kita cintai ini.
 
Tidak lupa kita ke atas sumbangan semua ahli perkhidmatan awam Sarawak (PANS) yang tidak terkecuali dalam menyumbang idea dan keringat dalam hal ehwal pentadbiran Sarawak sejak penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (SPANS) dalam tahun 1961 di bawah The Sarawak (Public Service Commission) Order in Council, 1961.
 
Dengan kesempatan ini, saya menyeru kepada semua ahli Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak untuk terus mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang pelbagai serta gerak kerja yang profesional, beramanah dan berintegriti tinggi dalam menggalas tanggungjawab menjadi nadi penggerak kepada pembangunan yang progressif di Sarawak.
 
Dengan penetapan matlamat yang jelas oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, setiap ahli PANS harus sentiasa bersedia dalam mendepani perubahan arus dunia yang pantas bergerak merentasi masa, budaya dan sempadan untuk kekal bersaing sebagai suatu entiti yang berkelas dunia.
 
Semoga Sarawak Ibu Pertiwi yang kita cintai ini terus maju serta terpelihara dari segala bala bencana dan sentiasaa dipelihara Allah SWT.

Diharapkan juga laman sesawang khas ini akan memberi manfaat kepada orang ramai berkenaan dengan maklumat Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka sepanjang 2023 ini.