Perutusan YB Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah





YB DATO SRI HAJI ABDUL KARIM RAHMAN HAMZAH

MENTERI BERTANGGUNGJAWAB

merangkap
Menteri Pelancongan , Industri Kreatif dan Seni Persembahan
Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan
Sarawak
 
 
Terlebih dahulu saya memanjat kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana atas limpah dan kurnianya, kita berjaya melangkah ke tahun 2023 ini dengan meraikan Sambutan Ke-60 Sarawak Merdeka.

Pada 22 Julai 2023 ini, genaplah 60 tahun Sarawak mencapai kemerdekaan daripada Kerajaan British pada tarikh itu. Sebab itu, sambutan ini amat lah signifikan sekali bagi rakyat Sarawak kerana ia memberi satu naratif perjalanan kemajuan Negeri Sarawak yang telah menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan untuk membangun dan menyediakan sebuah landasan yang cukup baik untuk kita kecapi pada hari ini. 

Daripada sebuah negeri dibawah pemerintahan Koloni British, Negeri Sarawak kemudian telah diberi status kerajaan sendiri pada 22 Julai 1963 yang seterusnya menjadi salah satu wilayah yang mengasaskan penubuhan Negara Malaysia pada 16 September 1963.

Begitu juga, generasi muda sebagai pewaris masa depan perlu mengetahui dan sedar kepentingan sejarah Negeri Sarawak bersesuaian dengan kata pepatah “Bangsa Yang Maju Adalah Bangsa Yang Celik Sejarah”.

Sempena Sambutan perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada tahun ini, Kerajaan Sarawak telah merangka pelbagai program dan acara sepanjang tahun 2023 seperti yang terdapat di dalam Calendar of Event yang terdapat dalam laman sesawang ini .

Program dan acara ini merupakan wadah bagi menyampaikan inisiatif-inisiatif Kerajaan Sarawak dalam mencapai kemakmuran dan pembangunan yang mampan.

Selain itu, sambutan ini juga dilihat mampu dijadikan landasan dalam menyemai semangat jati diri yang setia kepada negara dan pada masa yang sama memperkukuhkan semangat perpaduan agar ia sebati dengan fabric social masyarakat berbilang kaum di Sarawak.

Pengwujudan laman sesawang ini, diharap akan memberi peluang capaian yang lebih luas bukan sahaja di kalangan warga Bumi Kenyalang tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia yang berada di luar negara. Ini amat sinonim dengan aspirasi pendigitalan Sarawak dimana maklumat segala pengisian sambutan tahun ini berada di hujung jari anda.

Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah saya ucapkan kepada semua yang terlibat dalam pembinaan laman sesawang ini. Saya berharap orang ramai akan mengunjungi laman sesawang ini untuk mendapatkan maklumat terkini berkenaan dengan semua aktiviti-aktiviti Sambutan perayaan 60 tahun Sarawak Merdeka sepanjang tahun ini.

 
SELAMAT MENYAMBUT 60 TAHUN SARAWAK MERDEKA
SARAWAK MAJU MAKMUR