The Official Portal of the Sarawak Government


Penubuhan Kerajaan Baharu: GPS Serah Kepada Budi Bicara Yang Di-Pertuan Agong

Date : 22 November 2022     Source : UKAS

SELASA, 22 NOVEMBER 2022

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Premier Sarawak pada Selasa, GPS memaklumkan telah mengemukakan cadangan penubuhan kerajaan Malaysia terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan GPS yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Melihat kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

Malah GPS juga bertegas bahawa kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi. – EDISI UKAS



Media Center